11.9.13

Tips Untuk Khusyuk Dalam Solat.

SEBELUM SOLAT

1. MENJAGA MAKANAN, MINUMAN DAN PAKAIAN.
Pelihara kesucian hati daripada benda-benda yang haram atau tidak halal.
Sabda Rasulullah S.A.W (maksudnya) :

❝ Ketahuilah! Bahawa di dalam badan ada seketul daging; apabila ia baik, baiklah badan seluruhnya dan apabila ia rosak, rosaklah sekaliannya. Ketahuilah! Itulah yang dikatakan hati. ❞ (HR Bukhari & Muslim)

2. MEMBERSIHKAN DIRI DAN BERSUGI.
Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda (maksudnya) :

❝ Jika tidak mendatangkan kesusahan ke atas umatku atau ke atas manusia nescaya aku menyuruh mereka bersiwak pada setiap kali hendak solat. ❞ (HR Bukhari & Muslim)

3. WUDUK YANG SEMPURNA.
Mengambil wuduk dengan sempurna supaya air mengenai semua anggota wajib serta mengingati niat.
Baginda S.A.W pernah bersabda (maksudnya) :

❝ Sesungguhnya bacaan kami terganggu disebabkan terdapat beberapa orang di antara kamu yang solat bersama kami tidak menyempurnakan wuduk mereka. Oleh itu, siapa yang mendirikan solat bersama kami, maka sempurnakanlah wuduknya. ❞ (HR Ahmad & an-Nasa'i)

Wuduk juga dapat menjauhkan seseorang daripada gangguan syaitan.
Umar R.A berkata :

❝ Sesungguhnya wuduk yang baik itu mengusir syaitan daripada engkau. ❞

4. MEMAKAI PAKAIAN YANG BERSIH DAN KEMAS.
Jangan memakai pakaian yang kurang selesa. Ditegah bersolat dengan pakaian bergambar, berwarna-warni dan lain-lain kerana ia boleh membuat orang lain turut hilang kekhusyukannya.

5. JANGAN SOLAT DALAM KEADAAN LAPAR.
Sabda Rasulullah S.A.W (maksudnya) :

❝ Jangan solat ketika makanan (yang hendak dimakannya) sedang tersedia. . . . ❞ (HR Muslim)

6. JANGAN SOLAT DALAM KEADAAN MENAHAN BUANG AIR BESAR ATAU AIR KECIL.
Sabda Rasulullah S.A.W (maksudnya) :

❝ . . . dan jangan solat dalam keadaan menahan buang air besar dan air kecil. ❞ (HR Muslim)

7. PILIH TEMPAT SOLAT YANG MENENANGKAN.
Pilih tempat solat yang suasananya tenteram, selesa, tidak bising dan sebagainya. Pastikan juga telefon bimbit dimatikan sebelum solat.
Rasulullah S.A.W turut menegah mendirikan solat pada tujuh tempat iaitu

❝1. Tempat pembuangan sampah.
2. Tempat penyembelihan.
3. Kubur.
4. Tengah-tengah jalan.
5. Bilik mandi.
6. Tempat unta duduk di keliling air.
7. Di atas Baitullah. ❞ (HR at-Tirmidzi)

8. GUNA SEJADAH YANG TIDAK MENGGANGU.
Pastikan supaya tidak ada objek atau gambar yang boleh mengganggu fikiran atau membimbangkan hati di tempat sujud.

9. PASTIKAN TIADA GANGGUAN.
Imam an-Nawawi rahimahullah menjelaskan bahawa Rasulullah S.A.W menggalakkan supaya menghindari atau menjauhi apa-apa yang dikhuatiri melalaikan hati dari khusyuk ketika mendirikan solat.

10. SOLAT AWAL WAKTU.
Mendirikan solat di awal atau pertengahan waktu supaya tidak gopoh terutama ketika masa hampir luput (nyawa-nyawa ikan).

MAJALAH JOM! ISU NO. 18

4.9.13

Lalai.

❝ Maka celakalah orang yang solat, (iaitu) orang yang lalai terhadap solatnya, ❞ (Al-Ma'un: 4-5)

Bagaimana ciri-ciri mereka yang lalai?
Apakah sifat mereka ini?

1. TIDAK MENGHIRAUKAN
Dalil : (Ar-Rum: 7)
Punca : Tidak hirau akan ilmu Akhirat.
Nama glamor : LEKA

2. ASYIK DENGAN SESUATU PERKARA
Dalil : (Sad: 32)
Punca : Terlalu bermewah-mewah & berpenyakit wahan (cintakan dunia, takutkan mati).
Nama glamor : WAHAN

3. TIDAK MENGAMBIL BERAT
Dalil : (Al-Anbiya': 2-3)
Punca : Memandang ringan ajaran agama.
Nama glamor : SELAMBA

4. BERLENGAH-LENGAH / MELAMBATKAN
Dalil : (Al-Anbiya': 1)
Punca : Terlalu sibuk dengan urusan duniawi.
Nama glamor : BERTANGGUH

5. TERLUPA
Dalil : (Al-Ma'idah: 14)
Punca : Memandang remeh kewajipan solat.
Nama glamor : PELUPA

6. TIDAK BERHATI-HATI
Dalil : (Al-Munafiqun: 9)
Punca : Salah tujuan hidup.
Nama glamor : CUAI

MAJALAH JOM! ISU NO. 18

3.9.13

Dialog Pendek. Mesej Panjang.

Di sebuah pondok berdekatan warung kopi Pak Lah, Ahmad, Talhah dan Miau (kucing si Talhah) duduk bersembang di situ.

AHMAD : Sedihnya aku tak dapat join program bersama anak yatim tahun ni..
TALHAH : (memandang Ahmad sambil membelai Miau)
AHMAD : Tahu tak, dah 7 tahun berturut aku join sponsor diorang makan.
TALHAH : (belaiannya semakin perlahan, dahinya berpeluh)
AHMAD : Tapi kadang-kadang budak tu komplen makanan tak sedap la... Tak cukup la... Dah tu takde la hormat kita pulak.. Bla Bla Bla..
TALHAH : (memeluk erat Miau)
MIAU : Meow~
AHMAD : Tapi aku tetap sayang diorang. Kan Rasulullah anjurkan kita sayang anak yatim~
TALHAH : Haihh, Ahmad, Ahmad.. *menarik nafas panjang, dilepaskan perlahan-lahan* Rasulullah pun sayang juga orang yang tak riya', tak mengumpat dan tak mengherdik.
AHMAD : *zrass* (dipanah rasa malu)

2.9.13

Sifir Pahala

Infaq = 1 biji = 7 tangkai = 100 biji setiap tangkai
Grand Total = 700 biji!

❝ Perumpamaan orang yang menginfakkan hartanya di jalan Allah seperti sebutir biji yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkai ada 100 biji, Allah melipatgandakan bagi siapa yang dikehendaki, dan Allah Maha Luas, Maha Mengetahui. ❞ (al-Baqarah: 26)


Niat buat baik = 1 pahala
Niat buat baik + buat = 10 ≤ Pahala ≤ 700 atau LEBIH
Niat buat jahat - buat = 1 pahala
Niat buat jahat + buat = 1 dosa

❝ Sesungguhnya Allah telah mencatatkan kebaikan dan keburukan serta telah menjelaskannya di dalam Kitab-Nya. Sesiapa yang telah berniat untuk berbuat kebaikan namun tidak mengerjakannya, maka dituliskan untuknya satu kebaikan yang sempurna.nJika dia benar-benar mengerjakannya, maka Allah akan menuliskan untuknya 10 hingga 700 kebaikan, bahkan mampu lebih banyak lagi. Sesiapa yang telah berniat untuk berbuat keburukan (kejahatan) namun tidak mengerjakannya, maka akan dituliskan untuknya satu kebaikan yang sempurna. Jika dia benar-benar mengerjakannya, maka Allah akan menulis satu keburukan untuknya. ❞ (HR Muslim)


1 huruf = 1 pahala x 10

❝ Siapa yang membaca satu huruf dari Kitabullah maka baginya satu kebaikan dan setiap kebaikan akan dilipat gandakan sepuluh, saya tidak mengatakan (Alif Lam Mim) satu huruf, akan tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf. ❞ (HR Bukhari)


1 hajat saudara = 10 tahun iktikaf

❝ Barang siapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf . . . ❞ (HR at-Tabrani)


1 jemaah = 1 pahala x 27

❝ Sembahyang berjemaah itu lebih afdhal daripada sembahyang bersendirian dengan dua puluh tujuh kali ganda. ❞ (HR Bukhari & Muslim)


Subuh di Masjid berjemaah + Zikir + Solat Sunat 2 Rakaat = Pahala haji & Umrah

❝ Barang siapa yang solat subuh berjemaah, kemudian dia menetap di masjid untuk berzikir kepada Allah sampai matahari terbit, kemudia dia solat dua rakaat, maka dia akan mendapatkan (pahala) seperti pahala haji dan umrah, sempurna, sempurna dan sempurna. ❞ (HR at-Tirmidzi)


2 rakaat sebelum subuh > Dunia & Seisinya

❝ Dua rakaat sunnah fajar - yakni sebelum Subuh - adalah lebih baik nilainya daripada dunia dan apa saja yang ada di dalamnya ini - yakni dunia dan seisinya. ❞ (HR Muslim)

MAJALAH JOM! ISU NO. 18

1.9.13

Pena Untuk Gaza

Dalam remang redup mentari,
Di sini tawa di sana tangis mengiring hari,
Gaza bukan di mulut tetapi di hati,
Menyertai perjuangan, mengejar sempurna mati.

Di sini indah langit membiru,
Sedang di sana hati bercelaru,
Memandang awan yang kelabu,
Hanya dipenuhi debu-debu.

Gaza mewarnai hari dengan tangisan,
Yang pasti meninggalkan kesan,
Sedang kami mewarna hidup dengan lukisan,
Yang mungkin 'kan dihapuskan.

Yang mampu kuutus hanya tulisan pena,
Lalu kembali pada lena,
Itulah aku yang hina,
Tidak mampu ke sana,
Memberi semangat membina.

Saudaraku di sana yang seangkatan,
Hatiku juga sedang rawan,
Untuk bersama kamu gigih melawan,
Namun yang kubisa hanya memandang awan.

ALIZA NURAINI NORDEN

12.6.13

7 Ciri Penghuni Syurga Firdausi

Anda tergoda dengan ganjaran syurga Firdaus?

Mahu menjadi penghuninya tetapi tidak tahu bagaimana?



Ini jawapannya!



1) BERIMAN
[Al-Mukminum : 1]


Tanpa keimanan, semua amal kita akan menjadi sia-sia. Kerana itu, keimanan itu, atau dalam erti kata lain, kepercayaan yang sungguh mendalam kepada Allah itu merupakan perkara pertama yang perlu diterapkan dalam jiwa.

2) FOKUS & BERSUNGGUH-SUNGGUH


[Al-Mukminun : 2]

Ambil inisiatif untuk memahami apa yang kita bacakan dalam solat. Fokus dan concentrate ketika solat. Ia adalah waktu untuk Allah sahaja. Jadi mengapa lebih suka berfikir tentang benda lain ketika solat? Astaghfirullah.

3) UTAMAKAN YANG UTAMA!

[Al-Mukminun : 3]

Isilah masa dengan perkara-perkara yang bermanfaat. Seorang mukmin tidak akan membiarkan sedetik pun masa berlalu tanpa melakukan sesuatu yang berfaedah dan berguna.

4) TIDAK SELFISH

[Al-Mukminum : 4]

Kita tidak boleh, pada bila-bila masa, bersikap mementingkan diri sendiri dan mengabaikan kesusahan orang lain di sekeliling kita. Pada harta kita itu, ada hak orang lain yang harus diberikan. Jangan sekali diabaikan.

5) 'MAHAL'KAN DIRI

[Al-Mukminun : 5-7]

Maruah diri seorang mukmin itu sangat tinggi nilainya. Seharusnya, dia perlu berusaha untuk menjauhkan dirinya daripada mendekati lembah kemaksiatan. Keranai itu, jagalah batas-batas pergaulan dengan orang berlainan jantina.

6) JUJUR DAN AMANAH

[Al-Mukminun : 8]

Apabila diberi kepercayaan untuk memikul sesuatu tanggungjawab, laksanakanlah ia dengan baik. Dan apabila berjanji, tepatilah. Janganlah menjadi seperti orang munafiq; yang tatkala berjanji dia dustai, dan tatkala dipercayai, dia khianati.

7) DISIPLIN

[Al-Mukminun : 9]

Disiplinlah dalam menepati masa dan menjaga kualiti serta produktiviti harian kita. Rancanglah jadual harian kita mengikut jadual ibadah kita. Bila mana kita mampu untuk memelihara hubungan kita dengan Allah, ketika itulah kualiti hidup kita akan menjadi lebih baik. Insya-Allah.



11.6.13

Resipi Dakwah Kreatif

BAHAN-BAHAN :
240g daya usaha
160g campuran akhlak mulia
100g kesabaran
150g imaginasi
60g idea baru
Secubit senyuman secukup rasa

CARA-CARA MEMBUATNYA :
Pukul idea baru sehingga kembang dan kental.
Masukkan usaha dan kesabaran sedikit demi sedikit.
Tambahkan imaginasi dan gaul sehingga sebati.
Bungkus adunan tadi dengan akhlak mulia dan
hiaskannya dengan senyuman yang menawan.

10.6.13

Si Kecil Berjiwa Besar

Aku melihat si kecil Gaza
Riang ria tanpa sengsara
Penuh ketabahan melalui kehidupan
Penuh redha menghadapi cabaran

Walau diuji dugaan bertimpa
Walau dikurung penjara dunia
Dia tetap bangkit dengan keberanian
Demi menyahut semboyan perjuangan

Si kecil itu berlari gagah
Tidak seinci bisa tergugah
Walau pernah ditimpa musibah
Tetap mara dengan tabah

Dia tidak punya ayah
Sedari kecil berdikari sendiri
Tetapi dia tersenyum megah
Katanya abi di Jannah Firdausi

Mereka itu jiwanya mandiri
Allah S.W.T, Syahid dan syurgawi
Saban kali kalimah itu dihadami
Menjadi motivasi penguat diri

Mereka berjuang demi pembebasan
Mereka berkorban demi pembelaan
Bukan dunia mereka idamkan
Panggilan jihad, syahid mereka nantikan

Malu kita kepada mereka
Kita diasak sedikit cuma
Terus futur rebah ke dunia
Mahu bangkit tiada daya

Belajarlah daripada mereka
Yang punya jiwa membara
Kerana Allah motivasi utama
Tiada gentar mahupun kecewa

-Gaza itu, dipenuhi dengan para perwira dan para syuhada-

NURUL AIN MOHD LOTPHI
Usuluddin Hadis, Azhar, Mansoura
Sukarelawan Misi A2G* Aqsa Syarif

9.6.13

Kekuatan Cinta

Kakinya berdarah-darah. Orang-orang Taif bukan sahaja menolak dakwahnya, tetapi juga menggunakan kekerasan untuk menolak dakwahnya. Setelah Quraisy menolak habis dakwahnya, dan orang-orang mulia seperti Khadijah R.A yang menjadi tulang belakangnya wafat, kini anak-anak Taif pula melontarkan batu kepadanya. Sehingga beliau berlumuran darah. Di saat itulah Jibril datang menawarkan bantuan.

"Biar aku hancurkan mereka semua!" Menggoda betul tawaran Jibril itu.

Tetapi, "Tidak!" jawab Rasulullah kepada Jibril.

"Aku bahkan memohon penangguhan untuk mereka. Sungguh aku berharap bahawa Allah akan mengeluarkan daripada tulang sulbi mereka anak-anak yang akan menyembah Allah dan tidak mempersekutukan-Nya." [HR Bukhari & Muslim]

Seandainya Baginda seorang pendendam, pasti beliau menerima tawaran Jibril itu. Tetapi tidak! Beliau seorang pencinta. Dan Baginda sedar bahawa Baginda boleh mengubah komuniti penggembala kambing yang angkuh di jazirah Arab menjadi pemimpin-pemimpin peradaban dunia yang rendah hati. Hanya dengan kekuatan cinta! Dan itulah yang terjadi kemudiannya; hanya dalam waktu 22 tahun 2 bulan dan 22 hari, Baginda berjaya menyelesaikan tugas kenabiannya dengan membawa seluruhjazirah Arab ke dalam cahaya Islam.

Cinta adalah kekuatan perubahan yang dahsyat. 15 abad kemudian, Erich Fromm menjelaskan tentang kekuatan cinta dalam proses perubahan :

"Kekuatan cinta (love's approach) adalah lawan kepada pendekatan dengan kekerasan (violent approach). Cinta berusaha untuk memahami, menguatkan dan menghidupkan. Dengan cinta, seorang individu akan selalu mengubah dirinya. Dia akan menjadi lebih peka, lebih menghargai, lebih produktif dan lebih menjadi dirinya sendiri. Cinta bukan untuk melemahkan. Cinta adalah cara untuk mempengaruhi dan merubah sesuatu tanpa menimbulkan 'kesan sampingan' sebagaimana kekerasan. Tidak seperti kekerasan, cinta memerlukan kesabaran, iaitu usaha dari dalam. Lebih daripada semua itu, cinta memerlukan keteguhan hati. Menyelesaikan masalah memerlukan keteguhan hati untuk mengelakkan daripada kekecewaan, untuk tetap sabar walaupun menemui banyak halangan. Cinta lebih memerlukan kekuatan dari dalam, kepercayaan, daripada sekadar kekuatan fizikal." (Cinta, Seksualiti; Matriarki, Gender; 2002)

Kalau Erich Fromm menjelaskan kekuatan cinta dalam merubah individu dan masyarakat dengan bahasa psiko-sosial, maka Iqbal menjelaskannya dalam bait-bait puisinya :

Kekuatan cinta bukan dari tanah, air dan udara,
kekuatannya bukan keliatan urat asalnya,
cinta menundukkan Khaibar tanpa kesulitan,
cinta membelah badan bulan,
cinta memecahkan tengkorak Nimrod tanpa pukulan,
menghancurkan tentera Firaun tanpa pertempuran.

DIPETIK DARIPADA HASIL TULISAN
M. ANIS MATTA

8.6.13

c.i.n.t.a

Aku melihat Naufal menangis. Aku pelik. Lalu aku dampingi Naufal.

"Assalamualaikum, Naufal! Apahal muka sedih je ni? Cuba cerita, Naufal ada problem ke?"

"Waalaikumussalam. Oh, Amar. Ingatkan siapa tadi. Hehehe. Eh, mana ada problem pape pon. Hahaha. Saja, terasa sentimental pulak hari ini."

Aku melabuhkan punggungku di bangku bertentangan Naufal. Suara Naufal mula bernada romantik.

"Aku rasa I've fallen in Love la, Amar~ Huhuhu." Wajah Naufal berseri-seri. Hingusnya meleleh hasil tangisannya tadi. Pengotor betul.

"Ehh? Jatuh cinta? Tapi aku dah ada tunanglah. Lagipun... Laki ngan laki mana boleh, kan...?" Aku semakin cuak. Berpeluh-peluh aku cuba menolak bayangan negatif aku itu.

"Erk.. Bukan dengan kau lah, munyit.." Nah, habis si Naufal me-munyitkan aku gara-gara penjelasan tadi. "..tapi bukan cinta maksiat tau! Errr... camne nak explain ehh? Err..." Naufal tidak keruan dan cuba memberitahuku hal sebenar.

"Dah tu, cinta apa pulak?" Aku bernada serius.

"Aku start sayang kat dia ni lama dah. Tapi aku simpan je dalam hati. Yelah, takut tak berbalas~ Hehehe. Tapi kau tau? Harini aku dapat tahu yang dia pun sayang and rindu pada aku jugak!! Huhuhu." Riak wajah Naufal berubah dengan mendadak sekali. Kemerah-merahan pipinya.

"Iye? Kau tahu dari mana?!" Aku menjadi watak antagonis, cuba meragukan perasaan Naufal.

"Dalam ni dia ada cakap!!" Kata Naufal, yakin seyakin-yakinnya.

"Surat? Orang pakai surat lagi ke?" Aku tersenyum sinis. Ketawa kecil.

"Meh la baca~ Best wooo~ Baca la! Hee..." Naufal semakin cuba meyakinkan aku.

"Err, tak nak ahh. Bukan surat aku" Aku menolak tawaran itu mentah-mentah. Namun, aku goyah. Dipaksa bertubi-tubi, tanpa putus, akhirnya aku bersetuju untuk membaca surat dari si dia.

★

Riyak wajah aku berubah 120% selepas membaca surat itu. Pengenalannya pun sudah cukup membuatkan aku makin galak untuk meneruskan bacaanku. Dan aku ingin berkongsi isi kandungan surat itu bersama;


Suatu hari, Nabi Muhammad S.A.W bertanya :
Siapakah hamba Allah yang mulia?"
Sahabat menjawab :
"Para malaikat, ya Rasulullah."
Sahabat yang lain :
"Tentulah para Nabi, merekalah yang paling mulia."
Nabi tersenyum lalu berkata "
"Ya, mereka mulia, tetapi ada yang lebih mulia."
Para sahabat terdiam lalu berkata :
"Adakah kami yang mulia itu, ya Rasulullah?"
Nabi berkata :
"Tentulah kalian mulia. Kalian dekat denganku. Tetapi bukan kalian yang aku maksudkan."
Nabi menundukkan wajahnya. Baginda menitiskan air mata sehingga membasahi pipi dan janggutnya, lalu berkata :
"Wahai sahabatku, mereka adalah manusia-manusia yang lahir jauh setelah wafatnya aku. Mereka terlalu mencintai Allah dan tahukan kalian, mereka tidak pernah melihatku, tidak dekat denganku seperti kalian namun, mereka sangat rindu kepadaku dan saksikanlah wahai sahabatku bahawa aku sangat rindu pada mereka. Merekalah umatku! Umatku! Umatku!"


Allahumma salli 'ala Muhammad wa 'ala ali Muhammad.


MOHAMAD YUSRI BIN SHAMSUDDIN
Universiti Perubatan Volgograd, Rusia.

7.6.13

Jalan Tapisan

Allah akan benar-benar menapis
mereka yang berada di jalan ini

Jalan ini
hanyalah untuk mereka yang berjiwa besar
tidak mudah tergugah
oleh mehnah dan malapetaka

Jalan ini
hanyalah untuk mereka yang gusar
sangat takut
andai amal-amal mereka
hangus terbakar
oleh api riyak yang tidak kelihatan
meninggalkan hanya debu-debu yang berserakan

Jalan ini
bukan untuk mereka yang mengeluh kepenatan
sedang langkah baru sahaja selangkah
masih jauh dari syurga kenikmatan

Jalan ini
akan sentiasa ada tapisan
dan kita pasti akan mendapat
apa yang kita niatkan.

NUR AFNI NATASYA ISMAIL

6.6.13

Ramadhan Gerhana Di Kota Falujah

   Engkau melangut ke langit raya. Retinamu menangkap pandang gugusan bintang yang menaburi dada langit kelam tanpa calitan awan. Malam ini sudah 14 Ramadhan. Bermakna bulan kesayangan umat Muhammad ini sudah kian hamper ke fasa kedua. Bulan separa penuh yang baru muncul masih belum berseri sepenuhnya seperti malam kelima belas nanti. Indahnya malam-malam Ramadhan begini mengingatkan engkau pada kenangan Ramadhan tujuh tahun silam.

  Ramadhan di sini tiada bunyi mesingan mahupun ripuh senjata api yang berlumba memuntahkan ribuan peluru dan tega membenam kulit manusia tidak berdosa. Di sini tiada pemandangan ngeri yang boleh membunuh sebuah keindahan hidup. Tiada kematian yang menenggelamkan sebuah bahagia. Tiada bunyi dentuman yang mengerikan.

“Abang terkenangkan Falujah?” Engkau cuma tersenyum pahit mendengar suara itu. Usai bersolat tarawih di masjid berhampiran tadi, engkau dan dia menjamu selera bersama. Di sini, jamuan selepas solat tarawih dipanggil moreh. Dan kekenyangan itu membawamu ke anjung rumah secara diam-diam, menikmati gusar peristiwa lampau yang sering menghambat jiwa. Ketenangan yang engkau rasai kiniadakalanya penuh dengan sesalan dan rasa bersalah yang bersawang di benakmu.

  Engkau ketika itu masih seorang anak muda berusia 25 tahun. Punya ijazah dalam jurusan Qira’at al-Quran dari sebuah university di Iraq. Falujah, tempat kelahiranmu persis sebuah kota cendekiawan Islam kerana menghamili puluran dan mungkin juga ratusan anak muda yang menghafaz al-Quran. Juga ibarat sebuah empayar sebaran ajaran Islam dalam payungan rahmat Allah. Di ceruknya juga punyai ramai penganut Sunni dan orang-orang alim yang membuka tempat pengajian agama. Maka di situ tercetus segala-galanya. Engkau mengusap mata tiba-tiba. Ada air mata yang tidak bias dibendung. Sebak di dada mengundang duka yang berladung di kolam jiwa. Lalu tumpah perlahan meniti di tubir mata. Bagi engkau, kenangan yang ada di sana tidak boleh ditukar ganti dengan segunung emas biarpun hakikatnya nasib umat di sana terlalu menderita. Sehingga kini engkau hanya mampu menatap penderitaan yang panjang tentang daerah kelahiranmu dari kaca televisyen.

“Umat Islam di akhir zaman ini umpama hidangan yang sedang menunggu masa untuk disantap, Zulfa!” Nada suaramu lemah namun ada jalur kemarahan di situ.

  Zulfa bingkas bangun dari kerusi rehat mendekatimu. Mengusap air mata lelakimu yang kerap tumpah saat setiap kali Ramadhan menjengah saban tahun kebelakangan ini. Engkau biarkan perilaku itu.

“Zulfa mengerti perasaan abang. Sangat mengerti!”  Dalam samar kelam malam, engkau merenung wajahnya dengan perasaan pilu.

“Falujah mereka gelarkan sebagai sarang pengganas. Ya, mereka begitu bacul sehingga menggelarkan Falujah begitu. Tuduhan tidak berasas itu begitu menyalakan api di jiwa umat Falujah. Bahkan media Barat mereka turut menjaja pada satu dunia bahawa bumi kami dihuni ratusan pengganas! Sedangkan kami Cuma sekumpulan ilmuan dan anak-anak muda yang taat beragama! Nah, sampai sekarang bangsa keparat itu gagal membuktikan tuduhan mereka pada Falujah. Sedang bumi kami sudah hancur.” Suara engkau kedengaran keras.

  Falujah! Sebuah kota yang berlokasi 43 kilometer di sebelah barat Baghdad itu jadi saksi bahawa peristiwa 28 April 2003 adalah salah satu kejahatan perang paling mengerikan dalam sejarah dunia Islam. Iraq bermandi darah di lantai bumi sendiri. Mungkin ini adalah kronologi sasar politik Amerika terhadap Iraq setelah krisis minya lebih suku abad dahulu. Tidak mustahil itu penyebabnya selain Islamisme Sunni yang teguh berakar di situ!

  Kota itu menyaksikan ribuan nyawa tergadai demi agama. Engkau masih lagi terbayang peristiwa-peristiwa hitam yang menggugat ketenangan bumi bertuah Falujah. Betapa keganasan yang bermaharajalela itu telah melenyapkan segala-galanya yang menjadi kepunyaanmu. Kekejaman yang menghunjam nadi semua orang kesayanganmu.

  Saat engkau dan teman-teman seperjuanganmu tegar menggempur Angkatan Darat Amerika mempertahan daulah sendiri, adik dan abangmu menjadi mangsa lilitan butir peluru anjing pengganas itu. Mereka syahid. Ibumu yang sudah lelah berteman air mata setiap kali kematian bertandang Cuma tersenyum menerima khabar pilu itu.

“Bumi Falujah bagai gula di tengah kepanasan yang mencair saat white phosphorus dilontar sewenang-wenangnya. Tahukah dunia bahawa bom kimia itu juga yang pernah menjarah keharmonian Palestin sepanjang tiga tahun lalu? Bom itulah yang menjadi makanan sel dalam tubuh umat Falujah sehingga sekarang. Malah impaknya lebih teruk daripada senjata yang diguna Amerika ketika pengeboman Hiroshima dan Nagasaki.” Engkau masih merenung pekat malam.
“Ramadhan kami tidak seindah yang diharapkan. Kami berpuasa walaupun malam tempoh darurat. Mata kami digalah ketakutan untuk lelap. Perut kami hanya diisi dengan debu runtuhan bangunan. Namun, Allah tetap memberi kami kekuatan untuk meneruskan hidup!”

  Semilir dingin bagai curi-curi menghembus tubuh agammu. Tiba-tiba kedinginan kecil itu membawa engkau dalam rindu yang pedih pada figura seorang ibu. Wanita terulung dalam hidup engkau itu akhirnya pergi menghadap Ilahi dalam derita tidak tertahan kerana parah kanser. Air mata engkau menitik lagi.

“Ibu pula pergi kerana kanser gara-gara white phosphorus yang telah sebati dalam tubuhnya. Bukan sahaja ibu, malahan keseluruhan warga tua dan pemuda-pemudi Falujah sejak tragedi itu menghadapi kanser dan leukemia yang mengerikan. Golongan wanita muda Falujah pula menjadi takut untuk mempunyai anak kerana setiap kelahiran, bayi-bayi dikurniakan kecacatan yang aneh. Ada yang lahir tanpa kepala, dua kepala, satu mata di dahi, tuubuh bersisik atau lebih kasihan, mereka kehilangan anggota badan.” Di mata engkau kini terbayang wajah seorang anak kecil yang lahir cacat tanpa tangan yang pernah engkau saksikan satu ketika dahulu.

“Menurut pembacaan yang Zulfa hadami, white phosphorus ini boleh mengakibatkan kecederaan dan kematian melalui tiga cara, bukan? Iaitu melalui kebakaran yang membakar jauh ke dalam tisu tubuh. Kedua, dengan cara menghidunya dalam bentuk asap dan ketiga dengan cara menelannya. Dan sejak tragedi pengeboman Gaza dua tahun lalu, ia telah diharamkan di seluruh dunia kerana telah menyebabkan kebakaran yang dahsyat di sana.”

“Benar, Zulfa. Tapi pengharaman itu terlalu lewat sehingga ribuan jiwa Islam tidak berdosa menjadi korban. Apa yang abang kesalkan, pihak Pentagon Amerika tanpa langsung rasa bersalah menegaskan tiada bukti yang menunjukkan setiap kecacatan dan penyakit lain yang dihidapi itu berkaitan dengan pengeboman itu. Semuanya bagai dikunci mulut. Kuasa veto milik mereka. Dan orang Islam terus ditindas!”

  Zulfa disisimu terus setia mendengar. Wanita itu baru dinikahimu enam bulan lalu. Namun engkau terasa sudah bertahun mengenalinya. Benar, jodoh ini memang untukmu. Biar budaya dan bangsa tidak sealiran tetapi engkau yakin jodoh ini ditemukan atas dasar aqidah yang ulung.

“Apabila segala-galanya yang menjadi kesayangan abang pulang kepada Sang Pencipta, abang nekad mahu keluar dari serangan Amerika yang terus-terusan membelenggu. Yang tinggal di situ cuma kenangan dan kasih saying abang untuk Falujah. Abang berjaya melepasi Iraq tiga tahun selepas peristiwa hitam itu menuju ke Mekah dangan harapan munajat dan doa abang untuk kesejahteraan Falujah kembali. Selebihnya abang mahu mencari damai di halaman Baitullah. Di situ rupanya kehidupan abang bermula.”

  Tampang Tan Sri Salahuddin menjelma tiba-tiba. Engkau sedang beriktikaf di Masjidil Haram menyimpul doa yang tidak putus untuk Falujahmu seusai menunaikan solat Isyak bersendirian. Sudah lebih seminggu engkau di tanah haram itu. Benar, ketenangan yang engkau cari-cari ditemukan di situ. Selesai mengaminkan doa, ada tangan yang menghulur untuk bersalam di sisimu.

“Saya Salahuddin Ayyub dari Malaysia. Saudara?”

“Thoha. Thoha Rasydi. Warganegara Iraq.”

  Engkau mengamati wajah itu. Agak dimakan usia dan mungkin sebaya almarhum ayahmu. Namun kejernihan wajah dan luhur budi bicaranya menambat hatimu untuk terus mendekati. Malaysia, benarlah mereka dikenali sebagai ahsannas yang kerap engkau dengari dari teman-teman yang pernah berhijrah ke Republik Mesir yang dihuni ramai orang Asia. Mereka punya tingkah laku dan percakapan yang lembut berhemah.
  
  Engkau mula berkisah tengtang Falujah yang membawamu ke tanah haram. Tentang tanah ibundamu yang musnah dipercik mortar rejim Amerika. Tentang saudara-saudaramu yang terkorban syahid. Tentang umat Falujah yang menderita sakit dan punya kecacatan luar biasa itu. Air matamu tumpah setiap kali menyalin kembali rentetan tragedy maha hebat yang engkau dan umat Falujah harungi.

  Sejak itu, engkau mula akrab dengan Tan Sri Salahuddin dan rakan-rakan perniagaannya yang turut serta dalam rombongan umrah mereka. Padamu, Tan Sri Salahuddin berjanji akan menghulur bantuan. Sebagai menunaikan perjanjiannya, engkau dibawa pulang ke Malaysia bersama dan urusan kewangan hidupmu ditanggung lelaki itu.
  
  Bermula detik itu, engkau memulakan kehidupan baru di Malaysia sebagai pensyarah bahasa al-Quran di sebuah university antarabangsa di ibu kota Kuala Lumpur. Engkau mula berdikit-dikit mengakrabi bahasa Melayu dan mula selesa dengan suasana Malaysia. Namun, adakala hatimu rapuh jua bila terkenang nasib umat Falujah.

“Selepas mengenali ayah Zulfa, kita ditemukan. Rupanya dia punya perancangan sendiri. Sungguh abang tidakk menduga kita bakal disatukan selepas pertemuan pertama kita setahun lepas.” Engkau membibit senyum kembali, menyapu bersih wajah isterimu.
  
  Zulfa binti Salahuddin Ayyub, seorang graduan dalam bidang Sains Kejuruteraan Kimia lepasan Universiti Colorado. Engkau tidak pernah bermimpi akan menikahi seorang gadis Melayu yang menyandang jawatan jurutera kimia di ibu kota itu.

“Zulfa juga tidak menyangka ayah akan menyatukan kita. Ganjilkan percaturan Allah? Dan Zulfa terima dengan rela hati tanpa paksaan kerana Zulfa tahu ayah selalu memilih yang terbaik untuk Zulfa!” Senyum Zulfa mengubat tangis hiba di hati engkau yang lama bertandang.

“Andaikata abang ingin pulang ke Falujah menebus semula keselesaan abang di sini sedang saudara-saudara abang di sana menderita, Zulfa izinkan?”

  
  Engkau tidak pasti adakah itu satu ujian ketabahan untuk Zulfa atau kerelaan hatimu sendiri untuk ke sana.

“Bukankah Allah telah menjanjikan yang baik-baik untuk para syuhada’ dalam surah ali-‘Imran yang bermaksud;
"Jangan sekali-kali engkau menyangka orang yang gugur syahid pada jalan Allah itu mati tetapi mereka sebenarnya hidup di sisi Tuhan. Mereka bergembira dengan kurniaan mati syahid itu, dan mereka juga bergembira dengan berita mengenai saudara seIslam yang sedang berjuang tapi masih tertinggal di belakang. Dan tidak ada kebimbangan dan kesedihan bagi mereka bahkan mereka bergembira dengan balasan dari Allah."
   Matamu kembali bergenang mendengar tutur Zulfa yang kau rasa tulus dari hati itu. Keharuan di hati menerbitkan rasa syukur pada-Nya.
 
  Allahu Rabbi, andai aku telah tiada nanti, Kau bimbinglah dia untuk terus berteman ketabahan! Moga gerhana di Falujah juga akan berlalu.

ZUHAIDA HAJI ZAINON

Glosari :
1) Daulah -- kerajaan
2) Ahsannas -- manusia terbaik
3) White phosphorus -- fosforus putih, sejenis bom dari bahan kimia yang merbahaya. Akan terbakar apabila terdedah kepada cahaya dan udara.

5.6.13

Ramadhan Aksara Cinta

Ramadhan itu 
Pada sandaran tembok berukir
Dalam tenang hamparan masjid
Menemukan aku dengan Umaimah, Mariah, Juwairiyah
Umaimah, galak matanya menguntum rindu
Halus tawanya memekar saying
Mariah, bersih wajah dilapisi jilbab hitam
ku mengintai sorok bening matanya
Bibir delima itu menawar ramah 

Malam itu
Kala aku berjeda nafas melagukan mushaf
Juwairiyah melabuh duduk di pinggir simpuh
*khalah 'izzah! Ramadhan madhi arafftu khalah aisyah
Haza Ramadhan, araftuki khalah 'izzah!
Lalu ikat pekat rambut Juwairiyah kuluruti
Anak itu sungguh-sungguh
membekas cinta. 

Hari ini
Aku datangi pintu masjid
Merisik khabar tetamu Allah asyik di rentang sejadah
Umaimah mendepa tangan mengharap sebuah dakapan
Wajahnya membenam dalam erat pelukku
Sebuah pertemuan yang berisi perpisahan
Lapisan kaca retak berderai dalam kucup
buatmu Umaimah. 

Duhai Ramadhan
Sebuah hadiah dari Tuhan
Berbakti merajut tenunan ukhuwah
Beratku lepaskan ke dermaga Ilahi
Benar!
Persinggahanmu
menjirus aksara cinta!

NURUL 'IZZAH ZAINOL
*Khalah -- "makcik", panggilan akrab bagi orang Arab
*Khimar -- niqab
*Ramadhan dahulu aku kenal makcik Aisyah, Ramadhan kali ini aku kenal makcik 'Izzah