9.6.13

Kekuatan Cinta

Kakinya berdarah-darah. Orang-orang Taif bukan sahaja menolak dakwahnya, tetapi juga menggunakan kekerasan untuk menolak dakwahnya. Setelah Quraisy menolak habis dakwahnya, dan orang-orang mulia seperti Khadijah R.A yang menjadi tulang belakangnya wafat, kini anak-anak Taif pula melontarkan batu kepadanya. Sehingga beliau berlumuran darah. Di saat itulah Jibril datang menawarkan bantuan.

"Biar aku hancurkan mereka semua!" Menggoda betul tawaran Jibril itu.

Tetapi, "Tidak!" jawab Rasulullah kepada Jibril.

"Aku bahkan memohon penangguhan untuk mereka. Sungguh aku berharap bahawa Allah akan mengeluarkan daripada tulang sulbi mereka anak-anak yang akan menyembah Allah dan tidak mempersekutukan-Nya." [HR Bukhari & Muslim]

Seandainya Baginda seorang pendendam, pasti beliau menerima tawaran Jibril itu. Tetapi tidak! Beliau seorang pencinta. Dan Baginda sedar bahawa Baginda boleh mengubah komuniti penggembala kambing yang angkuh di jazirah Arab menjadi pemimpin-pemimpin peradaban dunia yang rendah hati. Hanya dengan kekuatan cinta! Dan itulah yang terjadi kemudiannya; hanya dalam waktu 22 tahun 2 bulan dan 22 hari, Baginda berjaya menyelesaikan tugas kenabiannya dengan membawa seluruhjazirah Arab ke dalam cahaya Islam.

Cinta adalah kekuatan perubahan yang dahsyat. 15 abad kemudian, Erich Fromm menjelaskan tentang kekuatan cinta dalam proses perubahan :

"Kekuatan cinta (love's approach) adalah lawan kepada pendekatan dengan kekerasan (violent approach). Cinta berusaha untuk memahami, menguatkan dan menghidupkan. Dengan cinta, seorang individu akan selalu mengubah dirinya. Dia akan menjadi lebih peka, lebih menghargai, lebih produktif dan lebih menjadi dirinya sendiri. Cinta bukan untuk melemahkan. Cinta adalah cara untuk mempengaruhi dan merubah sesuatu tanpa menimbulkan 'kesan sampingan' sebagaimana kekerasan. Tidak seperti kekerasan, cinta memerlukan kesabaran, iaitu usaha dari dalam. Lebih daripada semua itu, cinta memerlukan keteguhan hati. Menyelesaikan masalah memerlukan keteguhan hati untuk mengelakkan daripada kekecewaan, untuk tetap sabar walaupun menemui banyak halangan. Cinta lebih memerlukan kekuatan dari dalam, kepercayaan, daripada sekadar kekuatan fizikal." (Cinta, Seksualiti; Matriarki, Gender; 2002)

Kalau Erich Fromm menjelaskan kekuatan cinta dalam merubah individu dan masyarakat dengan bahasa psiko-sosial, maka Iqbal menjelaskannya dalam bait-bait puisinya :

Kekuatan cinta bukan dari tanah, air dan udara,
kekuatannya bukan keliatan urat asalnya,
cinta menundukkan Khaibar tanpa kesulitan,
cinta membelah badan bulan,
cinta memecahkan tengkorak Nimrod tanpa pukulan,
menghancurkan tentera Firaun tanpa pertempuran.

DIPETIK DARIPADA HASIL TULISAN
M. ANIS MATTA

No comments :

Post a Comment