1. MENJAGA MAKANAN, MINUMAN DAN PAKAIAN.
Pelihara kesucian hati daripada benda-benda yang haram atau tidak halal.
Sabda Rasulullah S.A.W (maksudnya) :
❝ Ketahuilah! Bahawa di dalam badan ada seketul daging; apabila ia baik, baiklah badan seluruhnya dan apabila ia rosak, rosaklah sekaliannya. Ketahuilah! Itulah yang dikatakan hati. ❞ (HR Bukhari & Muslim)
2. MEMBERSIHKAN DIRI DAN BERSUGI.
Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda (maksudnya) :
❝ Jika tidak mendatangkan kesusahan ke atas umatku atau ke atas manusia nescaya aku menyuruh mereka bersiwak pada setiap kali hendak solat. ❞ (HR Bukhari & Muslim)
3. WUDUK YANG SEMPURNA.
Mengambil wuduk dengan sempurna supaya air mengenai semua anggota wajib serta mengingati niat.
Baginda S.A.W pernah bersabda (maksudnya) :
❝ Sesungguhnya bacaan kami terganggu disebabkan terdapat beberapa orang di antara kamu yang solat bersama kami tidak menyempurnakan wuduk mereka. Oleh itu, siapa yang mendirikan solat bersama kami, maka sempurnakanlah wuduknya. ❞ (HR Ahmad & an-Nasa'i)
Wuduk juga dapat menjauhkan seseorang daripada gangguan syaitan.
Umar R.A berkata :
❝ Sesungguhnya wuduk yang baik itu mengusir syaitan daripada engkau. ❞
4. MEMAKAI PAKAIAN YANG BERSIH DAN KEMAS.
Jangan memakai pakaian yang kurang selesa. Ditegah bersolat dengan pakaian bergambar, berwarna-warni dan lain-lain kerana ia boleh membuat orang lain turut hilang kekhusyukannya.
5. JANGAN SOLAT DALAM KEADAAN LAPAR.
Sabda Rasulullah S.A.W (maksudnya) :
❝ Jangan solat ketika makanan (yang hendak dimakannya) sedang tersedia. . . . ❞ (HR Muslim)
6. JANGAN SOLAT DALAM KEADAAN MENAHAN BUANG AIR BESAR ATAU AIR KECIL.
Sabda Rasulullah S.A.W (maksudnya) :
❝ . . . dan jangan solat dalam keadaan menahan buang air besar dan air kecil. ❞ (HR Muslim)
7. PILIH TEMPAT SOLAT YANG MENENANGKAN.
Pilih tempat solat yang suasananya tenteram, selesa, tidak bising dan sebagainya. Pastikan juga telefon bimbit dimatikan sebelum solat.
Rasulullah S.A.W turut menegah mendirikan solat pada tujuh tempat iaitu
❝1. Tempat pembuangan sampah.
2. Tempat penyembelihan.
3. Kubur.
4. Tengah-tengah jalan.
5. Bilik mandi.
6. Tempat unta duduk di keliling air.
7. Di atas Baitullah. ❞ (HR at-Tirmidzi)
8. GUNA SEJADAH YANG TIDAK MENGGANGU.
Pastikan supaya tidak ada objek atau gambar yang boleh mengganggu fikiran atau membimbangkan hati di tempat sujud.
9. PASTIKAN TIADA GANGGUAN.
Imam an-Nawawi rahimahullah menjelaskan bahawa Rasulullah S.A.W menggalakkan supaya menghindari atau menjauhi apa-apa yang dikhuatiri melalaikan hati dari khusyuk ketika mendirikan solat.
10. SOLAT AWAL WAKTU.
Mendirikan solat di awal atau pertengahan waktu supaya tidak gopoh terutama ketika masa hampir luput (nyawa-nyawa ikan).
MAJALAH JOM! ISU NO. 18