Engkau melangut ke
langit raya. Retinamu menangkap pandang gugusan bintang yang menaburi dada
langit kelam tanpa calitan awan. Malam ini sudah 14 Ramadhan. Bermakna bulan
kesayangan umat Muhammad ini sudah kian hamper ke fasa kedua. Bulan separa
penuh yang baru muncul masih belum berseri sepenuhnya seperti malam kelima
belas nanti. Indahnya malam-malam Ramadhan begini mengingatkan engkau pada
kenangan Ramadhan tujuh tahun silam.
Ramadhan di sini
tiada bunyi mesingan mahupun ripuh senjata api yang berlumba memuntahkan ribuan
peluru dan tega membenam kulit manusia tidak berdosa. Di sini tiada pemandangan
ngeri yang boleh membunuh sebuah keindahan hidup. Tiada kematian yang
menenggelamkan sebuah bahagia. Tiada bunyi dentuman yang mengerikan.
“Abang terkenangkan
Falujah?” Engkau cuma tersenyum pahit mendengar suara itu. Usai bersolat
tarawih di masjid berhampiran tadi, engkau dan dia menjamu selera bersama. Di
sini, jamuan selepas solat tarawih dipanggil moreh. Dan kekenyangan itu
membawamu ke anjung rumah secara diam-diam, menikmati gusar peristiwa lampau
yang sering menghambat jiwa. Ketenangan yang engkau rasai kiniadakalanya penuh
dengan sesalan dan rasa bersalah yang bersawang di benakmu.
Engkau ketika itu
masih seorang anak muda berusia 25 tahun. Punya ijazah dalam jurusan Qira’at
al-Quran dari sebuah university di Iraq. Falujah, tempat kelahiranmu persis
sebuah kota cendekiawan Islam kerana menghamili puluran dan mungkin juga
ratusan anak muda yang menghafaz al-Quran. Juga ibarat sebuah empayar sebaran ajaran
Islam dalam payungan rahmat Allah. Di ceruknya juga punyai ramai penganut Sunni
dan orang-orang alim yang membuka tempat pengajian agama. Maka di situ tercetus
segala-galanya. Engkau mengusap mata tiba-tiba. Ada air mata yang tidak bias
dibendung. Sebak di dada mengundang duka yang berladung di kolam jiwa. Lalu
tumpah perlahan meniti di tubir mata. Bagi engkau, kenangan yang ada di sana
tidak boleh ditukar ganti dengan segunung emas biarpun hakikatnya nasib umat di
sana terlalu menderita. Sehingga kini engkau hanya mampu menatap penderitaan
yang panjang tentang daerah kelahiranmu dari kaca televisyen.
“Umat Islam di akhir
zaman ini umpama hidangan yang sedang menunggu masa untuk disantap, Zulfa!”
Nada suaramu lemah namun ada jalur kemarahan di situ.
Zulfa bingkas bangun
dari kerusi rehat mendekatimu. Mengusap air mata lelakimu yang kerap tumpah
saat setiap kali Ramadhan menjengah saban tahun kebelakangan ini. Engkau
biarkan perilaku itu.
“Zulfa mengerti
perasaan abang. Sangat mengerti!” Dalam samar kelam malam, engkau merenung
wajahnya dengan perasaan pilu.
“Falujah mereka
gelarkan sebagai sarang pengganas. Ya, mereka begitu bacul sehingga
menggelarkan Falujah begitu. Tuduhan tidak berasas itu begitu menyalakan api di
jiwa umat Falujah. Bahkan media Barat mereka turut menjaja pada satu dunia
bahawa bumi kami dihuni ratusan pengganas! Sedangkan kami Cuma sekumpulan
ilmuan dan anak-anak muda yang taat beragama! Nah, sampai sekarang bangsa
keparat itu gagal membuktikan tuduhan mereka pada Falujah. Sedang bumi kami
sudah hancur.” Suara engkau kedengaran keras.
Falujah! Sebuah kota
yang berlokasi 43 kilometer di sebelah barat Baghdad itu jadi saksi bahawa
peristiwa 28 April 2003 adalah salah satu kejahatan perang paling mengerikan
dalam sejarah dunia Islam. Iraq bermandi darah di lantai bumi sendiri. Mungkin
ini adalah kronologi sasar politik Amerika terhadap Iraq setelah krisis minya
lebih suku abad dahulu. Tidak mustahil itu penyebabnya selain Islamisme Sunni
yang teguh berakar di situ!
Kota itu menyaksikan
ribuan nyawa tergadai demi agama. Engkau masih lagi terbayang
peristiwa-peristiwa hitam yang menggugat ketenangan bumi bertuah Falujah.
Betapa keganasan yang bermaharajalela itu telah melenyapkan segala-galanya yang
menjadi kepunyaanmu. Kekejaman yang menghunjam nadi semua orang kesayanganmu.
Saat engkau dan
teman-teman seperjuanganmu tegar menggempur Angkatan Darat Amerika mempertahan daulah sendiri, adik dan abangmu menjadi
mangsa lilitan butir peluru anjing pengganas itu. Mereka syahid. Ibumu yang
sudah lelah berteman air mata setiap kali kematian bertandang Cuma tersenyum
menerima khabar pilu itu.
“Bumi Falujah bagai
gula di tengah kepanasan yang mencair saat white phosphorus dilontar
sewenang-wenangnya. Tahukah dunia bahawa bom kimia itu juga yang pernah
menjarah keharmonian Palestin sepanjang tiga tahun lalu? Bom itulah yang
menjadi makanan sel dalam tubuh umat Falujah sehingga sekarang. Malah impaknya
lebih teruk daripada senjata yang diguna Amerika ketika pengeboman Hiroshima
dan Nagasaki.” Engkau masih merenung pekat malam.
“Ramadhan kami tidak
seindah yang diharapkan. Kami berpuasa walaupun malam tempoh darurat. Mata kami
digalah ketakutan untuk lelap. Perut kami hanya diisi dengan debu runtuhan
bangunan. Namun, Allah tetap memberi kami kekuatan untuk meneruskan hidup!”
Semilir dingin bagai
curi-curi menghembus tubuh agammu. Tiba-tiba kedinginan kecil itu membawa
engkau dalam rindu yang pedih pada figura seorang ibu. Wanita terulung dalam
hidup engkau itu akhirnya pergi menghadap Ilahi dalam derita tidak tertahan
kerana parah kanser. Air mata engkau menitik lagi.
“Ibu pula pergi kerana
kanser gara-gara white phosphorus yang telah sebati dalam tubuhnya. Bukan sahaja
ibu, malahan keseluruhan warga tua dan pemuda-pemudi Falujah sejak tragedi itu
menghadapi kanser dan leukemia yang mengerikan. Golongan wanita muda Falujah
pula menjadi takut untuk mempunyai anak kerana setiap kelahiran, bayi-bayi
dikurniakan kecacatan yang aneh. Ada yang lahir tanpa kepala, dua kepala, satu
mata di dahi, tuubuh bersisik atau lebih kasihan, mereka kehilangan anggota
badan.” Di mata engkau kini terbayang wajah seorang anak kecil yang lahir
cacat tanpa tangan yang pernah engkau saksikan satu ketika dahulu.
“Menurut pembacaan
yang Zulfa hadami, white phosphorus ini boleh mengakibatkan kecederaan dan
kematian melalui tiga cara, bukan? Iaitu melalui kebakaran yang membakar jauh
ke dalam tisu tubuh. Kedua, dengan cara menghidunya dalam bentuk asap dan
ketiga dengan cara menelannya. Dan sejak tragedi pengeboman Gaza dua tahun
lalu, ia telah diharamkan di seluruh dunia kerana telah menyebabkan kebakaran
yang dahsyat di sana.”
“Benar, Zulfa. Tapi pengharaman
itu terlalu lewat sehingga ribuan jiwa Islam tidak berdosa menjadi korban. Apa yang
abang kesalkan, pihak Pentagon Amerika tanpa langsung rasa bersalah menegaskan
tiada bukti yang menunjukkan setiap kecacatan dan penyakit lain yang dihidapi
itu berkaitan dengan pengeboman itu. Semuanya bagai dikunci mulut. Kuasa veto
milik mereka. Dan orang Islam terus ditindas!”
Zulfa disisimu terus
setia mendengar. Wanita itu baru dinikahimu enam bulan lalu. Namun engkau
terasa sudah bertahun mengenalinya. Benar, jodoh ini memang untukmu. Biar budaya
dan bangsa tidak sealiran tetapi engkau yakin jodoh ini ditemukan atas dasar
aqidah yang ulung.
“Apabila
segala-galanya yang menjadi kesayangan abang pulang kepada Sang Pencipta, abang
nekad mahu keluar dari serangan Amerika yang terus-terusan membelenggu. Yang tinggal
di situ cuma kenangan dan kasih saying abang untuk Falujah. Abang berjaya
melepasi Iraq tiga tahun selepas peristiwa hitam itu menuju ke Mekah dangan
harapan munajat dan doa abang untuk kesejahteraan Falujah kembali. Selebihnya abang
mahu mencari damai di halaman Baitullah. Di situ rupanya kehidupan abang
bermula.”
Tampang Tan Sri
Salahuddin menjelma tiba-tiba. Engkau sedang beriktikaf di Masjidil Haram
menyimpul doa yang tidak putus untuk Falujahmu seusai menunaikan solat Isyak
bersendirian. Sudah lebih seminggu engkau di tanah haram itu. Benar, ketenangan
yang engkau cari-cari ditemukan di situ. Selesai mengaminkan doa, ada tangan
yang menghulur untuk bersalam di sisimu.
“Saya Salahuddin Ayyub
dari Malaysia. Saudara?”
“Thoha. Thoha Rasydi.
Warganegara Iraq.”
Engkau mengamati
wajah itu. Agak dimakan usia dan mungkin sebaya almarhum ayahmu. Namun kejernihan
wajah dan luhur budi bicaranya menambat hatimu untuk terus mendekati. Malaysia,
benarlah mereka dikenali sebagai ahsannas yang kerap engkau dengari dari
teman-teman yang pernah berhijrah ke Republik Mesir yang dihuni ramai orang
Asia. Mereka punya tingkah laku dan percakapan yang lembut berhemah.
Engkau mula berkisah
tengtang Falujah yang membawamu ke tanah haram. Tentang tanah ibundamu yang
musnah dipercik mortar rejim Amerika. Tentang saudara-saudaramu yang terkorban
syahid. Tentang umat Falujah yang menderita sakit dan punya kecacatan luar
biasa itu. Air matamu tumpah setiap kali menyalin kembali rentetan tragedy maha
hebat yang engkau dan umat Falujah harungi.
Sejak itu, engkau
mula akrab dengan Tan Sri Salahuddin dan rakan-rakan perniagaannya yang turut
serta dalam rombongan umrah mereka. Padamu, Tan Sri Salahuddin berjanji akan
menghulur bantuan. Sebagai menunaikan perjanjiannya, engkau dibawa pulang ke
Malaysia bersama dan urusan kewangan hidupmu ditanggung lelaki itu.
Bermula detik itu,
engkau memulakan kehidupan baru di Malaysia sebagai pensyarah bahasa al-Quran
di sebuah university antarabangsa di ibu kota Kuala Lumpur. Engkau mula
berdikit-dikit mengakrabi bahasa Melayu dan mula selesa dengan suasana
Malaysia. Namun, adakala hatimu rapuh jua bila terkenang nasib umat Falujah.
“Selepas mengenali ayah Zulfa, kita ditemukan. Rupanya dia
punya perancangan sendiri. Sungguh abang tidakk menduga kita bakal disatukan
selepas pertemuan pertama kita setahun lepas.” Engkau membibit senyum kembali,
menyapu bersih wajah isterimu.
Zulfa binti
Salahuddin Ayyub, seorang graduan dalam bidang Sains Kejuruteraan Kimia lepasan
Universiti Colorado. Engkau tidak pernah bermimpi akan menikahi seorang gadis
Melayu yang menyandang jawatan jurutera kimia di ibu kota itu.
“Zulfa juga tidak
menyangka ayah akan menyatukan kita. Ganjilkan percaturan Allah? Dan Zulfa
terima dengan rela hati tanpa paksaan kerana Zulfa tahu ayah selalu memilih
yang terbaik untuk Zulfa!” Senyum Zulfa mengubat tangis hiba di hati engkau
yang lama bertandang.
“Andaikata abang ingin
pulang ke Falujah menebus semula keselesaan abang di sini sedang
saudara-saudara abang di sana menderita, Zulfa izinkan?”
Engkau tidak pasti
adakah itu satu ujian ketabahan untuk Zulfa atau kerelaan hatimu sendiri untuk
ke sana.
“Bukankah Allah telah
menjanjikan yang baik-baik untuk para syuhada’ dalam surah ali-‘Imran yang
bermaksud;
"Jangan sekali-kali engkau menyangka orang yang gugur syahid pada jalan Allah itu mati tetapi mereka sebenarnya hidup di sisi Tuhan. Mereka bergembira dengan kurniaan mati syahid itu, dan mereka juga bergembira dengan berita mengenai saudara seIslam yang sedang berjuang tapi masih tertinggal di belakang. Dan tidak ada kebimbangan dan kesedihan bagi mereka bahkan mereka bergembira dengan balasan dari Allah."Matamu kembali bergenang mendengar tutur Zulfa yang kau rasa tulus dari hati itu. Keharuan di hati menerbitkan rasa syukur pada-Nya.
Allahu Rabbi, andai aku telah tiada nanti, Kau bimbinglah dia untuk terus berteman ketabahan! Moga gerhana di Falujah juga akan berlalu.
ZUHAIDA HAJI ZAINON
Glosari :
1) Daulah -- kerajaan
2) Ahsannas -- manusia terbaik
3) White phosphorus -- fosforus putih, sejenis bom dari bahan kimia yang merbahaya. Akan terbakar apabila terdedah kepada cahaya dan udara.
No comments :
Post a Comment